" Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya... "
[Ahzab;4]
Adalah tidak masuk akal jika seseorang hamba mempersoalkan perencanaan Allah. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Namun, di sebalik penciptaan Allah itu tersirat ribuan hikmah yang perlu diteroka. Penerokaan ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa, setiap waktu. Ia seolah-olah menghubungkan dalil naqli (yakni Quran) dengan dalil aqli (yakni pemerhatian terhadap alam syahadah). Dengan penerokaan hikmah inilah yang akan membenarkan ayat2 Allah sekaligus menambah keimanan kita kepada sang Pencipta.
Di situ lah tampak peranan akal itu sendiri, bukan hanya sekadar mengupgradekan kita di sisi haiwan malah membawa kita kepada sesuatu yang lebih jelas...jelas dan terang...macam hukum izhar halqi ~
Kini penulis sedar ke"best"an mentadabbur ayat2 Allah, walaupun kadang kalanya jauh menyimpang daripada objektif asal. Paling tidak akal penulis terhindar daripada cemaran hal2 yang melalaikan.
Sebagai contoh, penulis ingin mengajak pembaca mentadabburi ayat di atas. Secara rasionalnya, terdapat beberapa perkara yang boleh dicerap daripada maksud ayat di atas:-
- Penghargaan - Kebiasaannya, kita akan lebih menghargai jika kita memiliki hanya satu benda instead of dua benda yang sama. Maksud penulis adalah jika kita memiliki dua benda yang sama, sekiranya berlaku kehilangan salah satu daripadanya, dari sudut psikologi kita tak merasakan kehilangan yang besar berbanding jika kita memiliki hanya satu benda. Ibrahnya, kita ditarbiyah untuk menghargai setiap kurniaan Allah dan mempergunakannya ke arah jalan yang diredhai Allah.
- Bebanan - Menyemai jiwa dengan iman bukan lah satu perkara yang mudah, apatah lagi musuh utama, yakni syaitan tidak berputus asa melalaikan manusia. Tidak terbayang jika manusia dikurniakan dua hati. Sudah tentu bebanannya sungguh dahsyat, bebanan membasahi dua hati dalam masa yang sama! Ibrahnya, kita hendaklah bersyukur ke hadrat Allah atas segala perencanaan hebat-Nya. Sudah tentu hikmah yang tersirat memberi manfaat besar pada kita.
- Hala tuju - Hala tuju yang dimaksudkan adalah hala tuju hati. Hati adalah raja kepada anggota badan. Bersih hati seseorang, maka bersih lah amalnya...Kotor hati seseorang, maka kotor lah amalnya. Hati lah yang akan memandu empunya badan dari sudut amalan. Jika manusia dikurniakan dua hati di mana hati pertamanya dipenuhi dengan iman pada masa yang sama hati keduanya sarat dengan hasad, masakan manusia itu mampu beramal! Ibrahnya, hala tuju amat penting dalam kehidupan. Tanpa hala tuju, hidup kita akan celaru.
Bagaimana? Mudahkan meneroka hikmah...teruskan usaha!
Sumber: Bagaimana Menyentuh Hati, Abbas As-Siisiy